Seremban: Dua beranak maut dalam dua
kemalangan berasingan di Kilometer 247.6, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara,
di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu,
mangsa yang juga kakitangan di Majlis Perbandaran Klang (MPK), Widayati Abdol
Aziz, 41, yang memandu kereta Hyundai Atos bersama tiga anak lelakinya, Mohd
Shahir Mohd Yusob, 11, Muhammad Shafiq Mohd Yusob, 15, dan Muhammad Shazwan
Mohd Yusob,17, dalam perjalanan pulang dari rumah kakaknya di Melaka ke Taman
Sri Kapar, Klang, Selangor.
Jurucakap polis berkata, setibanya di tempat kejadian, kereta dipandu Widayati hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi lebuh raya lalu berpusing dan melintang di tengah jalan. “Muhammad Shafiq yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya.
“Manakala Widayati, Mohd Shahir dan
Muhammad Shazwan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibantu orang ramai
sebelum diletakkan di lorong kecemasan sementara menanti bantuan tiba,” katanya
kepada Harian Metro, di sini, semalam. Menurutnya, Widayati sempat menghubungi
kakaknya, Kamariah Abdol Aziz, 50, yang berada di Jasin, Melaka memaklumkan
kejadian itu. “Kakak mangsa tiba di tempat kejadian melihat keadaan adiknya dan
turut sama dua orang awam, Ismail Na’emat, 55, dan Khairul Hasni Abd Ghani, 40,
yang cuba membantu.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 11.30 malam, datang sebuah kereta Proton Persona hitam dipandu seorang lelaki berusia 20-an dipercayai hilang kawalan dan cuba mengelak kereta Hyundai ATOS di tengah jalan dan merempuh enam mangsa di lorong kecemasan,” katanya. Kata jurucakap, akibat rempuhan itu, Widayati yang cedera parah di kepala meninggal dunia kira-kira jam 12.50 pagi di wad kecemasan HTJS, manakala Kamariah dan Ismail cedera parah. “Muhammad Shazwan, Mohd Shahir dan Khairul Hasni hanya cedera ringan dan jenazah dua beranak itu dituntut keluarga sebelum dikebumikan di Jasin, Melaka,” katanya. Menurutnya, polis meminta pemandu kereta Proton Persona hitam bernombor pendaftaran PJW 9537 tampil serah diri di balai berhampiran atau gerakan memburu dijalankan.
Artikel
ini disiarkan pada : 2013/07/18 (MyMetro)
Takziah Buat Keluarga Arwah, Semoga mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Diharapkan juga Mereka yang cedera cepat sembuh. Semalam semua aktiviti mesyuarat dan audit ISO MPKlang dihentikan bagi menghormati Arwah Widayanti. Buat Pemandu Pesona PJW 9537 serahlah diri anda kalau tidak hidup anda tak kan senang sampai ajal menjemputmu. Marilah kita sedekahkan surah Al-Fatihah buat kedua-dua Arwah anak beranak. Al-Fatihah....