Jumaat, Mac 4

Freaky Friday #54


Assalamualaikum wbt...


KEPALA RASULULLAAH DIHEMPAP BATU

Di dalam satu perhimpunan, Abu Jahal yang terlalu benci terhadap Rasulullah SAW berkata kepada kaum Quraisy.

"Hai kaumku, kita jangan sesekali membiarkan Muhammad menyebarkan ajarannya sesuka hati. Perbuatannya itu telah menghina ajaran nenek moyang kita. Di hadapan kamu semua, aku berjanji esok aku akan membawa seketul batu yang besar ke Masjidil Haram dan akan aku balingkan ke kepala Muhammad ketika dia sedang bersujud," ujar Abu Jahal dengan angkuh dan sombongnya.

"Demi Tuhan, kami tidak akan menyerahkan engkau kepada Muhammad. Teruskan niatmu," ujar para pengikut Abu Jahal di dalam perhimpunan itu.

"Kami berasa bangga dengan kamu, Abu Jahal. Jika Muhammad dapat dihapuskan, akan hilang keresahan dan kegelisahan kami selama ini. Kegiatan Muhammad menyebarkan agama barunya itu patut disekat," Ujar salah seorang yang menghadiri perhimpunan itu.

Pada keesokan harinya Abu Jahal sudah bersiap-siap hendak pergi ke Kaabah di mana di situlah Rasulullah SAW bersembahyang. Dia membawa seketul batu besar di atas kepalanya sambil diiring oleh beberapa orang pengikut setianya yang akan menjadi saksi kekejamannya itu.

Sepanjang perjalanan itu Abu Jahal sudah membayangkan betapa kepala Rasulullah SAW akan berkecai sehingga tidak bergerak lagi. Dia juga tidak dapat membayangkan dia akan disambut dengan meriah oleh kaumnya apabila berjaya menghancurkan kepala Rasulullah SAW.

Sebaik sahaja Abu Jahal sampai dan hendak menunaikan sembahyang. Rasulullah SAW pula tidak menyedari kehadiran Abu Jahal dan para pengikutnya malah tidak menjangka Abu Jahal akan bertindak sedemikian rupa.

Tanpa menyangka sebarang perkara buruk akan berlaku, Rasulullah SAW terus sahaja menunaikan sembahyang. Abu Jahal dengan perlahan-lahan membawa seketul batu dari arah belakang menuju ke arah Rasulullah SAW yang sedang hendak bersembahyang.

Sementara itu para pengikut Abu Jahal ada yang berasa cemas dan bercampur gembira kerana Abu Jahal begitu berani melakukan perbuatan itu. Abu Jahal melangkah berhati-hati supaya tidak disedari oleh Rasulullah SAW ataupun orang lain yang berada di situ.

Apabila berada betul-betul dibelakang Rasulullah SAW yang sedang bersolat, Abu Jahal segera menghayun batu di ata kepala untuk dilemparkan ke kepala Rasulullah SAW. Tetapi sebaik sahaja dia ingin melontar, dengan tiba-tiba sahaja dia berundur beberapa tapak ke belakang.

Seketul batu yang dijunjungnya jatuh ke bawah. Wajah Abu Jahal yang sejak tadi berseri-seri kerana menganggap ia satu kejayaan tiba-tiba menjadi pusat lesi. Para pengikutnya yang berada di luar masjid dan memerhatikan dari jauh terkejut, tercengang dan berpandangan sesama sendiri.

Sepasang kaki Abu Jahal melekat di tanah dan tidak boleh digerak-gerakkan lagi. Melihatkan kejadian itu, beberapa orang pengikut Abu Jahal segera menghampiri dan menarik Abu Jahal keluar dari situ sebelum disedari oleh Rasulullah SAW.

Para pengikutnya segera menarik keluar dari masjid manakala Abu Jahal seolah-olah sedang terpinga-pinga dan tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Sebaik sahaja Abu Jahal ditarik keluar, salah seorang pengikutnya bertanya.

"Apa sebenarnya yang berlaku kepada kamu Abu Jahal? Kenapa kamu tidak hempapkan batu besar itu ke kepala Muhammad ketika dia sedang bersujud tadi?"

Abu Jahal diam membisu seolah tidak boleh berkata apa-apa lagi 

"selama ini kamulah yang lantang berpidato dan menyumpah seranah Muhammad tetapi kali ini kamu menjadi bisu. Di manakah kehebatanmu untuk membunuh Muhammad itu?" Tanya salah seorang pengikutnya sambil memandang wajah Abu Jahal yang sedang kebingungan.

Abu Jahal masih teringat bagaimana sebelum ini Rasulullah SAW pernah datang ke rumahnya apabila seorang Nasrani mengadu Abu Jahal telah merampas hartanya.

Apabila Abu Jahal terpandang wajah Rasulullah SAW, Abu Jahal tidak mahu untuk berkata apa-apa apabila melihat ada dua ekor harimau menjadi pengawal Rasulullah SAW di kiri dan kanannya.

Setelah Abu Jahal ditujah dengan berbagai-bagai soalan daripada para pengikutnya, Akhirnya Abu Jahal bersuara.

"Wahai sahabatku. Untuk pengetahuan kamu semua, sebaik sahaja aku menghampiri Muhammad dan hendak menghempap batu itu ke kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta yang besar hendak menendangku. Aku sangat terkejut kerana selama ini aku tidak pernah melihat seekor unta sebesar itu. Jika aku meneruskan niatku sudah pasti aku akan mati ditendang unta yang besar itu, sebab itulah aku berundur dan membatalkan niatku," ujar Abu Jahal menceritakan perkara sebenar.

Para pengikut Abu Jahal ada yang mentertawakannya kerana apa yang diceritakan tidak sama dengan apa yang dilihatnya. Mereka tidak melihat apa-apapun di dalam masjid itu kecuali Abu Jahal dan Rasulullah SAW yang sedang bersembahyang.

"Hai Abu Jahl, janganlah kamu hendak membuat cerita karut kepada kami. Kami tidak melihat apa-apa pun semasa kami memerhatikan kamu hendak menghempap batu itu ke kepala Muhammad. Kamu sengaja mengada-adakan cerita dan kamu bercakap besar supaya kami percaya dengan kata-katamu," ujar salah seorang pengikut yang mula sangsi dengan kesombongan Abu Jahal.

Kami juga tidak menyangka sesungguhnya kata-kata kamu selama ini ibarat tin kosong sahaja. Janganlah kamu hendak menipu kami, kami sudah tahu siapa kamu,: ujar pengikutnya lagi lalu seorang demi seorang meninggalkan Abu Jahal.

Tiada ulasan: