Tajamnya Pandangan Mata
Mata adalah salah satu pancaindera yang dianugerahkan Allah dan sangat besar manfaatnya bagi manusia, dan juga makhluk-makhluk yang lain, tetapi hendaklah mata itu digunakan pada tempat yang dituntut oleh syarak. Apabila mata tidak dimanfaatkan dengan semestinya maka mata itu akan menimbulkan sifat iri, rasa dengki, rasa cemburu dan lainnya ditimbulkan daripada mata. Demikianlah juga mata akan dapat berakibat buruk terhadap orang lain apabila kita gunakan mata itu dengan pandangan buruk.
Diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad dan Nasa'i, bahawasanya Sahal bin Hanif bercerita pada anaknya. "Satu hari Rasulullah S.A.W. keluar daripada negeri Madinah dengan beberapa orang sahabatnya, maka berjalan Rasulullah dengan diikuti oleh sahabat-sahabatnya ke satu tempat yang ada padanya air, sehinggalah sampai ke satu tempat yang bernama Sya'bul khoror. Setelah sampai pada tempat tersebut maka Sahal bin Haniff mandi kerana dia adalah salah seorang yang mengikuti Rasulullah S.A.W. Sahal memiliki tubuh yang putih bersih lagi bagus dan manis rupanya.
Ketika dia tengah mandi maka seorang sahabat yang ikut serta dalam rombongan Nabi itu yang bernama Amir bin Ribo'ah terpandang tubuh Sahal yang putih itu, melihat tubuh Sahal yang putih bersih itu lalu Amir berkata, "Belum pernah aku melihat seperti hari ini orang yang berkulit putih dan bagus seperti kulit Sahal ini.
Apabila Amir bin Robi'ah selesai bercakap yang demikian itu lalu Sahal bin Hanif jatuh tidak dapat berdiri lagi. Orang-orang yang menyaksikan Sahal terjatuh, mereka segera pergi untuk melaporkan kejadian itu pada baginda Rasul.
Mendengar berita itu nabi bertanya pada mereka, " Adakah ada di antara kamu yang memandang Sahal dengan pandangan yang dapat memberikan kemudaratan padanya?". Jawab para sahabat, "Benar ya Rasul iaitu Amir bin Rabi'ah yang memandang Sahal dengan pandangan yang memudaratkan."
Kemudian Rasul memanggil Amir bin Rabi'ah dan memarahinya, seraya bersabda, "Mengapakah kamu membunuh saudara kamu sendiri sesama islam? kenapa pula kamu tegur semasa kamu melihat tubuhnya ketika dia mandi? kamu katakan putih, kamu katakan pula elok dan lain-lain lagi? ingatlah! lainkali jika melihat sesuatu yang indah hingga kamu berkenan dan suka padanya maka jangan cakap seperti itu, tetapi ucapkanlah 'Baarokallahufiik' ertinya, semoga Allah memberikan keberkahan padamu".
Setelah itu baginda Rasul S.A.W. bersabda pula pada Amir, " Hai Amir, oleh kerana Sahal mendapat mudarat kerana engkau maka mandilah kamu." Mendapat perintah baginda Rasul, lalu Amir segera pergi mandi. Kemudian sahabat yang lain membawa satu bekas air, lalu Amir membasuh mukanya, dua tangannya, dua sikunya, dua lututnya, hujung dua kakinya dan di bawah rusuk pinggangnya, kemudian disuruh hirup beberapa kali hirup, setelah itu dijirus air yang di dalam satu bekas tadi dari atas kepalanya hingga rata ke belakangnya, selepas itu bekas tersebut ditelungkupkan.
Bila selesai Amir melakukan hal yang demikian itu, lalu Sahal bin Haniif dapat bangkit dan dapat berjalan sebagaimana mulanya, dan hilanglah penyakit yang mengenai dirinya akibat dari pandangan Amir tadi.
3 ulasan:
NICE SHARING (^_^)
Emm..... memang berhantu betul pandangan mata nikan Shaz
yup OKje.. dari mata turun ke hati.. lg bahaya hehehe
Catat Ulasan