Jumaat, Januari 6

Freaky Friday #65

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

IZIN SAHABAT MENUNTUT BELA

 Ketika Rasulullah SAW di penghujung hayatnya, Baginda berpesan kepada para sahabatnya. "Mungkin sebentar lagi Allah akan menjemputku. Aku tidak mahu di Padang Masyar nanti ada di antara kalian ingin menuntut bela di atas perbuatan ku terhada[ mereka. Jika ada sesiapa yang pernah aku sakiti, beritahulah."
Para sahabat yang berada di situ semunya terdiam. Mereka seolah-olah tidak sanggup untuk mendengar permintaan Rasulullah SAW itu. Setahu mereka Rasulullah SAW seorang yang mulia, tidak mungkin ada sesiapa yang terhiris atau terluka dengan perbuatannya.
Namun, ketika semua para sahabatnya diam membisu, tiba-tiba, Ukassyah bangun dan memberitahu, "Ya Rasulullah. Aku tidak tahu sama ada engkau sengaja atau tidak, dahulu ketika engkau memeriksa barisan yang ingin ke medan perang, engkau cuba meluruskan kedudukan ku, aku terkena tongkatmu. Sekarang aku ingin meminta pembelaan daripadamu."

Para sahabat yang sedang mengelilingi Rasulullah SAW terkejut dengan perbuatan Ukassya itu dan tidak menyangka dia berani berbuat begitu pada saat Rasulullah SAW ingin menemui Ilahi.

Tanpa diperintah sesiapa, Umar RA yang geram dengan sikap Ukassyah itu bangun dan cuba bertindak menghalang lelaki itu daripada meneruskan niatnya. Bagaimanapun, Rasulullah SAW menegah Umar RA daripada berbuat demikian. 
"Bilal, kamu ambil tongkat dirumahku dan bawa kemari," pinta Rasulullah kepada Bilal supaya mengambil tongkatnya di rumah. Tanpa berlengah, Bilal terus menuju ke rumah Rasulullah SAW. Siti Aisyah RA yang ketika itu berada di rumah hairan apabila Bilal meminta tongkat Rasulullah SAW. Tetapi setelah diterangkan perkara sebenar, barulah SIti Aisya RA memberikan tongkat itu kepada Bilal.

"Saya hairan masih ada juga di kalangan sahabat yang tidak berpuas hati dengan Rasulullah SAW walaupun banyak yang baginda telah diberikan kepada mereka." ujar Siti Aisyah RA sebaik sahaja memberikan tongkat itu kepada Bilal.

Sebaik sahaja Bilal sampai, dia terus memberikan tongkat itu kepada Rasulullah SAW. Kemudian Rasulullah SAW memberikan tongkat itu kepada Ukassyah sambil menyelak tubuhnya dan menyuruh lelaki itu memukul dengan tongkatnya.

"Lakukanlah sebagaimana yang pernah aku lakukan kepadamu dahulu," ujar Rasulullah SAW kepada Ukassyah.

Para sahabat tidak sanggup hendak melihat lelaki itu memukul Rasulullah SAW. Namun, lelaki itu tidak jadi memukul Rasulullah SAW sebaliknya dia terus memeluk dan menciumnya berkali-kali sambil menangis tersedu-sedu.

"Ya Rasulullah. aku tidak bermaksud untuk mencemar nama baikmu. Sungguh, tujuanku melakukan begini supaya aku dapat memelukmu pada saat-saat akhir dan merasakan kulitmu dapat menyentuh kulitku. Sesungguhnya aku amat ikhlas semua perlakuanmu terhadapku ya Rasulullah," ujar lelaki itu yang tidak dapat menahan air matanya daripada terus mengalir.

Sebaik sahaja lelaki itu menceritakan perkara sebenarnya, kedengaran suara melaungkan, "Allahu Akbar" berkali-kali.

"Maafkan aku ya Rasulullah. Aku tahu engkau tidak akan menyatakan demikian jika tidak ajalmu sudah semakin hampir dan aku tidak mahu berpisah denganmu," jelas lelaki itu dengan tangisan yang belum reda.

Para sahabat hanya memerhatikan peristiwa itu dengan rasa yang sungguh terharu. Apabila ajalnya sudah sampai, para sahabat saling bertangisan tanda kesedihan.

Tiada ulasan: