Assalamualaikum wbt...
Salam Ramadhan.. buat semua..jom, baca kisah Rasulullah.
Unta Menjadi Saksi
Pada suatu ketika seorang Yahudi telah menuduh seorang lelaki Muslim mencuri untanya. Lelaki Muslim itu tidak berpuas hati kerana dituduh mencuri sedangkan dia tidak melakukannya. Bagaimanapun lelaki Yahudi itu beria-ia menuduh lelaki muslim itu mencuri untanya.
"Saya ada bukti dan saksi yang melihat kamu mencuri unta saya. Bagaimana kamu hendak menafikanya?" Tanya lelaki Yahudi itu sambil memerhatikan gerak geri lelaki muslim itu.
"Manakah saksi-saksi kamu yang melihat aku mencuri untamu? Tanya lelaki Muslim itu.
"Ini dia empat orang saksi yang melihat kamu mencuri untaku, Kamu masih tidak mahu mengaku!" Herdik lelaki Yahudi itu sambil memperkenalkan empat orang saksi disebelahnya.
Lelaki Muslim itu terkejut. Dia tidak kenal dan tidak pernah melihat empat saksi yang diperkenalkan oleh lelaki Yahudi itu.
Saya tidak berpuas hati. Saya cadangkan kita berjumpa Rasulullah. Hanya dia sahaja yang boleh selesaikan perkara ini," cadang lelaki Muslim itu.
Lelaki Yahudi itu berfikir sejenak. Dia seolah-olah keberatan menerima cadangan itu. Tiba-tiba terdetik di hati kecil lelaki Yahudi itu, "Saya ada saksi yang boleh menguatkan hujah saya sedangkan dia tidak. Kali ini pasti dia akan menerima hukuman."
"Baiklah saya bersetuju,", Balas lelaki Yahudi itu.
Lelaki Yahudi beserta empat orang saksi dan lelaki Muslim itu menemui Rasulullah SAW dan menceritakan perkara yang sebenar. Oleh kerana lelaki Yahudi itu mempunyai saksi yang melihat lelaki Muslim itu mencuri untanya kemudian Rasulullah SAW membuat keputusan.
"Daripada keterangan dan saksi yang empat kini, saya mendapati kamu (lelaki Muslim) didapati bersalah kerana mencuri unta. Oleh itu kamu harus menerima hukuman potong tangan," ujar Rasulullah SAW membuat keputusan.
Mendengar jawapan Rasulullah SAW itu, lelaki Muslim itu kebingungan kerana dia tidak mencuri unta itu.
Kemudian lelaki Muslim itu menadah tangan ke langit dan berdoa, "Ya Allah ya tuhanku. Sesungguhnya Engkaulah yang maha Mengetahui bahawa sebenarnya aku tidak mencuri unta lelaki Yahudi ini."
Kemudian lelaki Muslim itu memandang wajah Rasulullah SAW dan dengan suara yang sayu, dia berkata, "Wahai Rasulullah SAW, saya tidak mempertikaikan keputusanmu tetapi untuk lebih adil, tanyalah kepada unta ini sendiri, apakah benar saya mencurinya?"
Rasulullah SAW menerima keterangan lelaki Muslim itu dan terus bertanya kepada unta itu, "Hai unta. Milik siapakan engkau sebenarnya?"
Unta itu seolah-olah mengerti apa yang ditanyakan oleh Rasulullah SAW, lalu dengan suara yang fasih dan terang, unta itu memberitahu, "Ya Rasulullah, aku adalah milik lelaki Muslim ini dan lelaki Yahudi serta empat saksi itu adalah saksi munafik dan pendusta!"
Sebaik sahaja unta itu menjawab, wajah lelaki Yahudi dan empat saksinya berubah. Mereka berpandangan sesama sendiri. Mereka terperangkap dengan helah yang direka sendiri.
Rasulullah SAW hairan dan berfikir bagaimana unta itu boleh menyatakan kebenaran lalu baginda bertanya, "Wahai lelaki Muslim, apakah amalan-amalanmu sehingga unta ini boleh berkata yang benar?"
Wahai Rasulullah, aku tidak tidur waktu malam selagi aku tidak berselawat ke atas mu sepuluh kali," ujar lelaki itu.
"Syukur Alhamdulillah. Engkau telah selamat daripada menerima hukuman potong tangan di dunia dan seksaan di hari akhirat dengan berkat berselawat ke atasku setiap malam," tambah Rasulullah SAW lagi.
Mendengar penjelasan Rasulullah SAW itu, lelaki Yahudi yang menuduh lelaki Muslim itu tidak menyangka keberkatanya berselawat ke atas Nabi sebelum melelapkan mata telah menyelamatkannya daripada dianiaya oleh orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan